
Dalam ucapan alu-aluannya pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang Asean (ALA) ke-14 2023, Tengku Maimun berkata penting untuk mengiktiraf walaupun rantau Asean mempunyai ciri sistem perundangan berbeza, prinsip kepatuhan kepada kedaulatan undang-undang dan menggalakkan tadbir urus yang baik, namun membentuk inti pati landskap undang-undang kita yang pelbagai.
“Aspirasi bersama ini, pada pandangan saya mewakili satu daripada asas jalinan warna-warni Asean; Kebanggaan Kami,” katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri amat percaya dengan prinsip “kanonik” dan sokongannya menunjukkan bagaimana eksekutif dan badan kehakiman boleh terus melaksanakan fungsi mereka secara bebas antara satu sama lain namun, pada masa sama, memberikan sokongan diperlukan.
“Malah, di sebalik perbezaan kami dan sebagai ahli profesion undang-undang di rantau Asean, kami berkongsi dedikasi untuk mengejar keadilan.
“Kewajipan ini melangkaui sempadan negara dan sistem perundangan. Dan dengan melihat keadaan dengan cara yang lebih luas atau lebih umum, komitmen kolektif kami terhadap keadilan, tanpa mengira latar belakang masing-masing, menegaskan semula perpaduan kami dan mengukuhkan tekad kami ketika kami terus menegakkan kedaulatan undang-undang dan menggalakkan kerjasama di rantau Asean,” katanya.
Selain itu, Tengku Maimun juga menghargai hakikat bahawa persidangan hari ini menyatukan minda cemerlang daripada pelbagai negara, budaya dan sistem perundangan.
“Pada pandangan saya, dalam gabungan perspektif yang harmoni ini, kita boleh mencari penyelesaian kepada masalah rumit yang melanda rantau kita,” katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Ketua Hakim Negara Singapura merangkap Presiden ALA Sundaresh Menon dan bekas ketua hakim negara Zaki Mohd Azmi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram