
Agensi itu dalam kenyataan berkata pihaknya menjemput Saifuddin untuk merasmikan sambutan Jubli Intan JPN yang antara pengisiannya pendaftaran perkahwinan sivil bagi dua pasangan terpilih.
“Proses pendaftaran perkahwinan sivil tersebut tidak melibatkan, melambangkan mahupun dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
“Lafaz ikrar dituturkan pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata,” katanya.
JPN berkata, mengikut akta itu Saifuddin selaku menteri dalam negeri turut berkuasa mendaftarkan perkahwinan sivil bukan Islam selain pegawai tinggi serta kakitangan tertentu agensi berkenaan.
Mereka terdiri daripada ketua pengarah, timbalan ketua pengarah, pengarah bahagian perkahwinan dan perceraian, pengarah pendaftaran negeri serta timbalan pendaftar perkahwinan.
“Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman video yang memaparkan Saifuddin sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram