HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kontroversi program solidariti Palestin, DAP gesa tindakan tatatertib

-

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata KPM juga perlu memastikan penganjuran program seperti itu tidak berulang kembali.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kementerian Pendidikan berkata, program sekolah terbabit yang tular dalam media sosial, diadakan di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan ditetapkannya.

PETALING JAYA:
DAP menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang terbabit dalam program solidariti Palestin di sebuah sekolah rendah selepas pelajar dan guru dilaporkan membawa senapang mainan ke acara itu.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata KPM juga perlu memastikan sebarang penganjuran program seumpama itu tidak berulang kembali.

Loke berkata, DAP bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan dan sentiasa mendokong pendirian kerajaan untuk bersuara lantang bagi perjuangan membebaskan Palestin, dan mengembalikan hak dan wilayah mereka.

“Bagaimanapun, DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah yang melibatkan murid pada usia yang muda.

“Program seumpama itu hanya akan memberikan mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, tular satu video 55 saat menunjukkan seorang lelaki mengacukan senapang mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera Palestin ke perhimpunan.

Video itu menyebabkan beberapa pihak termasuk Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) menggesa KPM mengkaji kesesuaian program sedemikian di sekolah.

Semalam Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa kawalan ke atas Minggu Solidariti Palestin di sekolah bagi mengelakkan sebarang isu tercetus.

KPM pula dilaporkan berkata, penganjuran program di sekolah terbabit di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dari 29 Okt hingga 3 Nov ini dan tidak mengikuti panduan ditetapkannya.

Loke juga mendesak KPM mempertimbangkan semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyampaikan mesej dalam kalangan murid.

“Program di sekolah sepatutnya memupuk semangat cintakan keamanan sejagat dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam membentuk sahsiah yang selari dengan prinsip-prinsip Madani.

“Hubungan dan pemahaman silang budaya serta perasaan hormat-menghormati sesama rakan-rakan sebaya daripada latarbelakang berlainan juga harus dipupuk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.