HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

ECER tarik komitmen pelaburan RM10 bilion

-

Pelaburan di wilayah ekonomi Pantai Timur itu merentasi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian serta minyak dan gas.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Peluang pelaburan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berpotensi mewujudkan lebih 4,500 pekerjaan baharu dan lebih 600 peluang perniagaan tambahan. (Gambar Freepik)

KUALA LUMPUR:
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerima pelaburan komited berjumlah RM10 bilion dalam setakat September 2023, kata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Setakat ini, RM2.6 bilion direalisasikan dan pelaburan ini merentasi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian serta minyak, gas dan petrokimia (OGP).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat berkata agensi itu mempunyai kelebihan tempatan dan hubungan kukuh dengan kerajaan negeri di bawah kawasan ECER dan penggiat industri tempatan untuk menarik pelaburan dan menyediakan kemudahan menyeluruh kepada pelabur.

“Peluang yang diwujudkan oleh pelaburan swasta akan menjana pekerjaan dan peluang keusahawanan yang seiring dengan semangat Malaysia Madani yang berusaha untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Baidzawi juga berkata pelaburan dalam ECER berpotensi mewujudkan lebih 4,500 pekerjaan baharu dan lebih 600 peluang perniagaan tambahan, menjanjikan prospek ekonomi yang lebih cerah untuk rantau ini.

Sementara itu, di bawah rangka kerja ekonomi Madani, komitmen dan usaha ECERDC untuk meletakkan ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan melibatkan pelaksanaan infrastruktur strategik dan program pembangunan bakat (pekerja berkemahiran) dipacu industri.

Menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan rakan kongsi strategik lain, ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahkan pelaburan baharu ke dalam ECER dan memastikan realisasi pelaburan.

Kejayaan ECERDC dalam menarik pelaburan swasta telah disumbangkan oleh projek infrastruktur strategik yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ketersambungan dan rangkaian pengangkutan sekali gus meningkatkan daya saing rantau ini sebagai destinasi pelaburan.

Kerajaan persekutuan telah memperuntukkan dana yang besar untuk melaksanakan projek infrastruktur strategik.

“Sejak penubuhan ECERDC, pelaburan swasta mengurangkan penghijrahan keluar dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER, memberikan rangsangan sosioekonomi kepada wilayah yang ketinggalan di belakang,” kata Baidzawi.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama kerajaan persekutuan berterusan diperlukan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi wilayah bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Selain itu, dengan pertumbuhan industri kenderaan rekreasi (RV) global sebagai konsep baharu pelancongan gaya hidup, ECERDC meletakkan ECER sebagai destinasi baharu untuk industri pembuatan dan pemasangan RV,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.