HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Fitnah Zakir Naik, Ramasamy diarah bayar RM1.5 juta

-

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata Zakir Naik berjaya membuktikan kes dengan imbangan kebarangkalian.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Penceramah kontroversi Zakir Naik mengemukakan saman terhadap bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy kerana memfitnahnya.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy membayar ganti rugi RM1.52 juta kerana memfitnah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik pada 2017 hingga 2019.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata, Zakir yang juga penduduk tetap Malaysia berjaya membuktikan kes dengan imbangan kebarangkalian.

Dalam keputusannya, Hayatul berkata Zakir berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dibuat pemimpin DAP itu empat tahun lalu.

Beliau juga mendapati bahawa pembelaan Ramasamy tiada merit dan tidak dapat dipertahankan.

Hayatul mengarahkan Ramasamy membayar RM1 juta ganti rugi am, RM250,000 ganti rugi teladan, RM100,000 pampasan, RM100,000 ganti rugi teruk, dan kos berjumlah RM70,000.

Mahkamah mengarahkan Ramasamy membayar ganti rugi itu dalam tempoh 30 hari, tetapi permohonan maaf darinya ditangguhkan sementara menunggu hujahan lisan kedua-dua pihak pada 1 Dis ini.

Ramasamy ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan merayu keputusan tersebut.

Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy membuat lima kenyataan fitnah terhadapnya, yang dimuat naik di beberapa media sosial dan dilaporkan beberapa portal berita antara 2017 hingga 2019.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zakir mendakwa pada 10 April 2016, Ramasamy memfitnahnya di Facebook dengan menggelarnya “syaitan”.

Zakir juga mendakwa Ramasamy memfitnahnya dalam satu kenyataan yang disiarkan FMT pada 1 Okt 2017 dengan mendakwa Malaysia melindungi “penjenayah dari India”.

Beliau berkata, Ramasamy turut memutar belit ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 11 Ogos 2019.

Katanya, Ramasamy sekali lagi memfitnahnya dalam satu wawancara dengan India Today pada 20 Ogos 2019 yang didakwa cubaan untuk menyebarkan kebencian terhadapnya di seluruh dunia.

Saman kedua Zakir terhadap Ramasamy yang didakwa memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita The Malaysian Insight pada 8 Nov 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.