
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, dalam sidang media berhubung laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di Bangunan Parlimen hari ini.
“Memang semua sudah sedia maklum, yang ini (perolehan) di bawah sewaktu Menteri (Kesihatan) Dr Adham Baba. Malah YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin pun sudah bagi kenyataan ia bukan diperoleh semasa beliau menjadi menteri kesihatan,” katanya.
Isnin lalu, PAC mengeluarkan laporan antara lain memaklumkan tiada perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.
PAC turut mendedahkan masih terdapat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta yang luput tempoh setakat 1 Jun lalu.
Susulan itu, Mas Ermieyati berkata KKM diberi tempoh dua bulan untuk menjawab lima syor PAC berhubung laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang dikeluarkan Isnin lepas.
Beliau berkata, ini kerana selepas PAC mengadakan prosiding maklum balas, jawatankuasa itu akan membentangkan Laporan Tindakan Susulan berhubung hal berkenaan yang turut mengandungi maklum balas KKM.
“Dalam setiap isu disiasat PAC, dua laporan akan dihasilkan dan kedua-dua laporan ini akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dapat dihasilkan serta dibentangkan di Parlimen.
“Ini menunjukkan betapa PAC komited untuk memastikan rakyat mengetahui apa yang dilakukan kerajaan terhadap segala rumusan dan syor yang dibuat PAC.”
Antara lain, lima syor PAC ialah walaupun berdepan keadaan darurat, dokumentasi hendaklah dilaksanakan dengan usaha wajar, KKM perlu segera menyemak status waranti bagi semua 136 unit ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
Selain itu, Mas Ermieyati berkata, setiap laporan PAC yang dibentangkan perlu dipersetujui tujuh wakil tetap kerajaan (ex-officio) terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara.
Semua ahli PAC, termasuk tujuh ex-officio, kata beliau perlu bersetuju secara konsensus dengan laporan, rumusan dan syor sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan sehingga kini tidak pernah mana-mana laporan PAC perlu melalui undian belah bahagian.
Mas Ermieyati berkata, laporan yang dipersetujui secara konsensus itu bukti PAC jawatankuasa tidak berpihak dan tidak membawa ideologi parti politik apabila menghadiri mesyuarat PAC.
“Yang penting bagi kami 14 ahli PAC adalah memastikan wang rakyat dibelanjakan demi kepentingan negara dan rakyat secara berhemah.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram