HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rayuan Siti Bainun terhadap sabitan, hukuman ditangguh 30 Jan

-

Hakim menetapkan tarikh itu selepas peguam memohon penangguhan berikutan nota keterangan saksi pembelaan kelapan belum lengkap.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Siti Bainun Ahd Razali yang berjubah merah jambu dan dilihat semakin susut tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Pendengaran rayuan Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi di sini terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella, ditangguh ke 30 Jan depan.

Hakim Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas peguam Haijan Omar mewakili Siti Bainun, pengasas Rumah Bonda, memohon penangguhan berikutan nota keterangan saksi pembelaan kelapan belum lengkap.

“Pihak kami mohon pendengaran hari ini ditangguhkan dan mohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad tidak membantah perkara itu.

Hakim menetapkan 7 Dis ini untuk pengurusan kes.

Ketika ditanya media selepas prosiding, sama ada dia sihat, Siti Bainun berjubah merah jambu dan dilihat semakin susut berbanding sebelum ini, dengan ringkas menjawab: “Saya sihat.”

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa berbuat demikian.

Siti Bainun, 31, diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, pada 3 Mei lepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Dia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu.

Siti Bainun, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Wanita itu turut diarah melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.