
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berkata prestasi projek adalah rendah dengan 123 (31.9%) daripada 386 sekolah berkenaan telah siap bagi tempoh 2019 hingga 2022.
Beliau berkata isu itu antara dibangkitkan dalam LKAN kali ini yang turut melibatkan 16 pengauditan prestasi dilaksanakan di 14 kementerian membabitkan projek dan program bernilai RM208.882 bilion.
Selain itu, LKAN mendapati Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi tiga sektor selaras fungsi ditetapkan.
“Bagaimanapun, penghasilan aktiviti R&D yang dilaksanakan belum dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri getah Malaysia,” katanya.
Bagi pengurusan program penanaman padi, Wan Suraya berkata baki peruntukan terkumpul setakat 2022 berjumlah RM448.87 juta yang disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang bagi pemberian subsidi serta insentif kepada pesawah tidak dibelanjakan.
Katanya isu kelewatan pembekalan baja dari 2016 hingga 2019 merugikan kerajaan dan golongan sasar kerana bekalan baja lewat diterima, tetapi tiada tindakan dikenakan kepada pembekal.
Bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Fasa 1 (2015-2022) di tiga lembangan sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang, beliau berkata pencapaian program itu kurang memuaskan.
Walaupun kerajaan membelanjakan RM145 juta untuk program ini, namun kadar ketepatan ramalan banjir hanya 5.6% dan ia tidak berupaya mengeluarkan amaran serta hebahan dua hari lebih awal.
Mengenai pengurusan syarikat kerajaan persekutuan, Wan Suraya berkata antara isu dibangkitkan berhubung sasaran awal pembangunan Kwasa Damansara dalam tempoh 15 tahun bermula Julai 2012 hingga 2027 yang belum dicapai oleh Kwasa Land Sdn Bhd (KLSB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, hanya 2.104 hektar (atau 0.4%) daripada keluasan keseluruhan plot tanah boleh jual (536.002 hektar) siap dibangunkan sejak 2012.
“Pelaburan KWSP dalam KLSB melibatkan modal berbayar berjumlah RM1.770 bilion, namun tiada bayaran dividen sejak penubuhannya (2009).”
Menurut kenyataan itu, 261 syor audit dikemukakan untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat persekutuan dan negeri.
LKAN 2022 peringkat persekutuan akan dimuat naik ke laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang ramai boleh melayarinya di https://www.audit.gov.my mulai 10 pagi tadi.
LKAN di 13 negeri pula akan dimuat naik ke laman web sama selepas pembentangan di Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram