
Ini kerana, Tribunal Timbang Tara Malaysia yang memutuskan demikian bukannya timbang tara diiktiraf kerajaan.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili kerajaan dalam pertikaian undang-undang tidak menyertai prosiding itu. Ia merupakan award sebelah pihak,” kata sumber itu kepada FMT.
Award timbang tara tersebut menyusul duluan ditetapkan Mahkamah Persekutuan, pada 27 Jun, yang memutuskan pindaan ke atas Akta Penyelarasan Pencen 1980 pada 2013 melanggar peruntukan Perlembagaan bahawa sebarang skim pencen baharu tidak boleh kurang menguntungkan daripada yang lama.
Peguam Engku Aminuddin Ibrahim, mewakili kumpulan berkenaan berkata, ketua tribunal, Iszam Kamal Ismail bersetuju pindaan itu ultra vires Perlembagaan dan memerintahkan pencen mereka disemak semula.
Beliau memberitahu FMT, keputusan itu akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk pengesahan dan penguatkuasaan.
Bagaimanapun, sumber berkata: “Jabatan Peguam Negara akan bertindak sewajarnya apabila tiba masanya.”
Dalam pada itu, peguam R Kengadharan berkata pihak yang mempertikaikan boleh memilih timbang tara sekiranya perjanjian antara mereka mengandungi klausa membenarkannya.
Namun, beliau berkata pertikaian antara veteran tentera dan kerajaan tertakluk kepada undang-undang awam.
“Saya hairan kenapa pihak terkilan tidak pergi ke mahkamah sedangkan subjeknya mengenai undang-undang awam,” katanya.
Tindakan timbang tara dibawa 2,332 veteran daripada semua tiga cabang angkatan tentera. Mereka berhujah pindaan terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 menyalahi undang-undang dan melucutkan hak mereka menyemak kadar setiap kali kerajaan menyelaras gaji anggota tentera.
Kumpulan itu menamakan Majlis Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan kerajaan sebagai defendan.
Kes berkenaan berbangkit selepas bekas kakitangan Wisma Putra, Aminah Ahmad dan 56 pesara kerajaan memfailkan saman terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam, mendakwa pindaan ke atas Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980, diperkenal dalam Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013, melanggar Perkara 147.
Kerajaan juga telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan hakim bersara Ian Chin, menuntut pengurangan bayaran pencen dibayar kepadanya, antara 2015 dan 2022.
Dalam rayuan lain, sekumpulan 26 bekas senator memohon Mahkamah Rayuan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi, pada 2020, yang menolak permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak mendapat pengiraan semula pencen yang disemak berkuatkuasa 1 Jan 2015.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram