
Orang ramai ditemui FMT berkata, inisiatif itu juga akan membolehkan mereka “berbelanja lebih sedikit” daripada kebiasaan.
“Katakanlah, setiap hari saya makan di restoran mamak, dengan kredit e-dompet saya boleh pergi ke kafe sebagai gantinya,” kata Toriah Mansur, 29.
Pegawai khidmat pelanggan Karthigai Sivakumar, 24, berkata kredit RM100 itu akan membantunya membeli barangan untuk anak terutama apabila gajinya habis.
“Sebagai seorang yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, ada banyak komitmen perlu ditanggung jadi sudah tentu kita boleh menggunakannya untuk masa depan,” katanya.
Bawah inisiatif eMadani, rakyat berumur 21 tahun ke atas yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah atau berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) layak menebus e-kredit RM100 hingga 20 Feb tahun depan.
Setakat ini, lebih tujuh juta memohon kredit eMadani, yang dijangka memberi manfaat kepada 10 juta orang dengan kos keseluruhan RM1 bilion.
Mereka yang layak mempunyai tempoh hingga 20 Feb tahun depan untuk menebus kredit melalui empat penyedia e-dompet: MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Farah Hayati, 25, berkata “wang saku tambahan” adalah langkah jangka pendek yang baik.
“Anda boleh menggunakan duit itu untuk makan tengah hari, makan malam, dan perbelanjaan lain untuk pengangkutan,” katanya yang bagaimanapun menganggap ia bukan penyelesaian jangka panjang kepada peningkatan kos sara hidup.
Pekerja sambilan, Mohd Salman, 32, berkata inisiatif itu akan memberi rangsangan kepada ramai orang terutama golongan belia kerana ramai daripada mereka membeli barangan secara dalam talian.
“Bagi sesetengah orang, RM100 itu jumlah yang banyak. Akan ada yang menganggap ia adalah jumlah kecil tetapi ramai lagi akan melihatnya sebagai jumlah yang besar.”
Moderator kandungan, Arvin Raw, 27, berkata nilai inisiatif itu melangkaui e-kredit RM100 kerana ia akan memudahkan penggunaan transaksi tanpa tunai, terutama dalam kalangan pengguna kali pertama.
“Jika mahu menggunakannya, mereka perlu mendidik diri sendiri tentang cara mengaksesnya di platform e-dompet.
“Jadi ia membantu orang yang tidak terlibat dalam (urus niaga tanpa tunai),” katanya kepada FMT.
Haiza Shahfinaz, 26, yang bekerja sebagai pramugari kereta api, berkongsi pandangan sama, sambil berkata ia akan menggalakkan warga emas untuk mula menggunakan e-dompet daripada membawa wang tunai.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram