
Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Jefry Aziz @ Adan, berkata karnival kerjaya itu disertai 63 syarikat swasta dan disokong Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Antara syarikat swasta terlibat ialah Affin Group, CIMB, SME Bank, Malaysia Airports, Sime Darby Plantation , Pilot Group, SME Aerospace Sdn Bhd, Senheng, Prolintas Group of Companies dan Ladada Logistics dan Imperial Lexis Kuala Lumpur.
Jefry berkata, selain peluang pekerjaan, program juga menawarkan pelbagai hadiah menarik dalam slot cabutan bertuah setiap hari termasuk tiket penerbangan ke Dubai, Istanbul dan dan negara di Asia Tenggara.
“Tumpuan nanti pastinya hadiah utama yang ditawarkan pada Ahad iaitu sebuah rumah, jadi pengunjung digalakkan untuk datang bagi memanfaatkan peluang ini,” katanya ketika menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia.
Sementara itu, Jefry melihat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bukan setakat menjadi tarikan kepada rakyat untuk melihat inisiatif yang dilakukan setiap kementerian, tetapi merupakan satu wadah sesi libat urus kerajaan dengan rakyat.
“Ini bermakna apabila datang, kita tahu apa penegasan dan komponen penting yang cuba diketengahkan kerajaan, selain perkara-perkara baharu dan aspek penambahbaikan yang dilaksana sepanjang 2023, di samping akan diberi penerangan berhubung inisiatif lain tahun depan,” katanya.
Penganjuran program bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.
Kemuncak program itu merupakan majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani akan disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Ahad ini dan ia akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram