HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Suami isteri dalang sindiket penipuan permit kerja ditangkap

-

Lelaki Bangladesh dan isterinya warga Indonesia disyaki menawarkan perkhidmatan memperbaharui permit kerja palsu kepada warga asing.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharudin Tahir berkata pasangan itu ditahan menerusi Ops Serkap di sebuah rumah flat di Pasir Gudang, awal pagi semalam. (Gambar Facebook Jabatan Imigresen Malaysia)

JOHOR BAHRU:
Sepasang warga asing dipercayai suami isteri dan ejen sindiket memperbaharui permit kerja secara penipuan, ditahan menerusi Ops Serkap di sebuah rumah flat di Pasir Gudang, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharudin Tahir dalam kenyataan berkata menerusi makluman awam, pihaknya memeriksa empat individu dan kemudiannya menahan lelaki warga Bangladesh berusia 44 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 37 tahun itu pada pukul 1.15 pagi.

Beliau berkata turut dirampas 13 naskhah pasport antarabangsa warga Bangladesh dan India yang disorok di dalam almari pakaian serta wang tunai berjumlah RM34,983.

“Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoritinya terdiri daripada individu warga Bangladesh yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja serta pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

“Caj bayaran dikenakan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 bagi satu permohonan,” katanya.

Baharuddin berkata pihaknya masih menyiasat sama ada dokumen yang dirampas itu tulen atau palsu.

Beliau berkata wanita itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, lelaki berkenaan ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana tanpa kuasa yang sah memiliki pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri, katanya.

Jabatan Imigresen katanya memandang serius terhadap kegiatan sindiket yang mengaut keuntungan dengan mengeluarkan atau membekalkan dokumen jabatan itu secara penipuan, dikhuatiri boleh mencemarkan nama baik dan imej jabatan itu.

Baharuddin turut menasihatkan orang ramai agar terus berurusan dengan pejabat Imigresen dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen bagi mengelak ditipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.