
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San berkata sebanyak 334 saman turut dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan dalam operasi bermula 12 tengah malam dan tamat empat jam kemudian.
Beliau berkata operasi dijalankan secara bersepadu itu membabit lebih 100 pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman bersama kontinjen Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Tengah.
“Dalam operasi ini sebanyak 113 motosikal disita dan 334 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada cermin sisi dan ubah suai motosikal tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau berkata polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti itu dan operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan tersebut.
Sementara itu, IPD Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan pihak polis menyita lima motosikal dan mengeluarkan 40 saman kerana pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar Bayan Lepas awal pagi semalam.
Kenyataan itu memaklumkan selain membendung samseng jalanan, operasi tersebut juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Operasi ini juga tertumpu di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah,” menurut kenyataan itu.
Operasi itu akan diteruskan pada setiap minggu bagi mencegah gejala mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman awam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram