
Terdahulu, FMT melaporkan Lim Thean Heng, 72, dilarang melawat abang iparnya di Hospital Seberang Jaya oleh pengawal keselamatan pada Isnin lalu kerana berseluar pendek.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi “kesal” dengan “insiden terpencil” itu dan tidak mahu ia mencemarkan reputasi sistem penjagaan kesihatan negeri.
“Tindakan lanjut akan diambil untuk mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya kepada FMT.
Seorang pengawal keselamatan memberitahu Lim, kod pakaian hospital itu melarang pelawat memakai seluar pendek, skirt pendek dan baju tanpa lengan.
Beliau kemudian membangkitkan perkara itu di kaunter aduan hospital, di mana seorang pegawai memaklumkan akan menggunakan budi bicaranya untuk membenar dia masuk “hanya untuk kali ini”.
Lim berkata, seorang pegawai bertanggungjawab untuk keselamatan hospital itu berkata, kod pakaian itu berdasarkan Rukun Negara.
Isu pakaian akibat salah faham, salah komunikasi
Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr Saiful Azlan Sharif berkata siasatan mendapati Lim dilarang masuk akibat salah faham dan salah komunikasi dengan pengawal keselamatan.
Katanya, hospital itu akan bekerjasama dengan syarikat keselamatannya untuk meningkatkan latihan supaya kakitangannya lebih profesional dan berkomunikasi secara berkesan ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata, etika pakaian hospital itu sudah lama diamalkan agensi kerajaan dan hospital kerajaan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ketika itu, Shafiq Abdullah, turut menjelaskan etika berpakaian itu pada 24 Mac 2022.
“Etika berpakaian itu dikuatkuasakan bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan selaras prinsip kelima Rukun Negara, iaitu budi bahasa dan akhlak.
“Kod etika ini turut diamalkan di jabatan kerajaan Jepun, UK, Australia serta negara Asean seperti Filipina serta Thailand.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram