
Tertuduh, Muhammad Khairuddin Kassim, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun di tempat duduk dalam bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, antara 11 pagi hingga 1 petang, 17 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia turut didakwa melakukan perkara sama terhadap kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang juga adik mangsa pertama di tempat rehat pemandu di belakang bas dengan kejadian berlaku pada tarikh dan masa sama.
Dakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin memandang kesalahan ini sangat serius membabitkan dua beradik.
Namun, selepas mendengar hujahan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah juga menetapkan 10 Januari depan untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes serta menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram