
Bagaimanapun pengasas dan naib presiden parti itu yang bersedia mempelopori usaha berkenaan enggan menyatakan secara jelas sama ada berminat menggantikan Mohamad Sabu sebagai presiden.
Dalam temu bual dengan FMT, Mujahid berharap dapat menonjolkan Amanah melalui penyertaan debat politik, membolehkan rakyat mengetahui gagasannya menjelang PRU16.
Menurutnya, usaha itu diharap diterjemah dengan kemenangan dan menambah jumlah kerusi Parlimen daripada lapan kini, sekali gus membolehkannya ‘menuntut’ lebih banyak kedudukan dalam Kabinet.
“Kalau Amanah mahu dilihat lebih terserlah maka kena pastikan menang banyak kerusi pada pilihan raya akan datang,” katanya menyentuh kritikan beberapa pemimpin Pemuda Amanah yang parti itu sepatutnya ‘mendapat lebih’ menerusi rombakan Kabinet dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 12 Dis lalu.
Menerusi rombakan itu, Mohamad kekal memegang portfolio pertanian dan keterjaminan makanan manakala Pengarah Strategi Amanah Dzulkefly Ahmad dilantik menteri kesihatan.
Bagaimanapun, Armizan Ali daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilantik menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, jawatan disandang Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lalu.
Ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad di bawah Pakatan Harapan (PH), Amanah mendapat lima kerusi Kabinet termasuk Mujahid sebagai menteri hal ehwal agama.
Mujahid turut berkongsi misinya untuk mengubah persepsi terhadap parti berusia lapan tahun itu supaya tidak lagi dilihat sebagai pendatang baharu dalam gabungan politik.
“Misi saya ialah Amanah tak lagi dilihat sebagai ‘new kids on the block’ (pendatang baharu) dalam gabungan kerjasama politik, tetapi perlu diiktiraf, dihormati dengan idea gagasan besar untuk memastikan dasar kerajaan diterima seperti konsep ‘rahmatan lil alamin’,” katanya.
Mengulas kesediaannya memegang jawatan lebih tinggi termasuk presiden, Mujahid memperlahankan spekulasi itu sebaliknya berkata kesemua 27 ahli jawatankuasa pimpinan bakal dipilih pada Konvensyen Nasional Amanah 23 dan 24 Dis, layak dipilih.
“Saya kira yang layak menentukan semua ini perwakilan dalam menentukan 27 yang terbaik, kemudian mereka ini akan pilih siapa jadi presiden, timbalan serta tiga naib presiden,” katanya.
Pemilihan Amanah berbeza dengan kebanyakan parti lain yang mengamalkan pemilihan jawatan utama melalui undian langsung, sebaliknya perwakilan memilih 27 ahli jawatankuasa yang kemudiannya berbincang untuk melantik presiden serta barisan pimpinan.
Selain pemilihan, Konvensyen Nasional Amanah antara lain juga bakal dihangatkan dengan perbincangan berhubung prestasi kurang cemerlang pada PRU15 dan PRN selain kerjasama Umno.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram