HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

25,438 mangsa banjir, tanah runtuh di 4 negeri

-

Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 14,006 orang daripada 4,288 keluarga yang berlindung di 94 PPS di lapan daerah setakat 12 tengah hari tadi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar (dua dari kanan) bersama pegawainya meredah banjir membuat pemantauan di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Sejumlah 25,438 mangsa dipindahkan ke 199 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor yang dilanda banjir serta tanah runtuh.

Laporan terkini dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 14,006 orang daripada 4,288 keluarga yang berlindung di 94 PPS di lapan daerah setakat 12 tengah hari tadi.

Daerah terjejas ialah Gua Musang, Jeli, Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Jumlah itu meningkat berbanding 11,216 mangsa daripada 3,444 keluarga yang ditempatkan di 72 PPS di enam daerah terjejas pada 12 tengah malam tadi.

Terengganu menyusul dengan jumlah mangsa banjir kedua tertinggi, iaitu 10,643 orang daripada 2,913 keluarga di 134 PPS di tujuh daerah berbanding 6,724 orang daripada 1,791 keluarga di 110 PPS malam tadi.

Daerah terjejas membabitkan Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Pahang pula mencatatkan sedikit penurunan kepada 785 mangsa daripada 187 keluarga berlindung di 13 PPS di Lipis, Raub dan Cameron Highlands petang ini berbanding 791 mangsa daripada 187 keluarga di 16 PPS malam tadi.

Seramai 87 mangsa daripada jumlah itu ditempatkan di sebuah PPS di Cameron Highlands susulan tanah runtuh.

Selangor kekal dengan empat mangsa daripada satu keluarga yang dipindahkan ke sebuah PPS di Kuala Langat.

Pada masa sama, paras air Sungai Kelantan di Kuala Krai, Machang dan Gua Musang serta Sungai Golok di Pasir Mas merekodkan bacaan tahap bahaya, manakala bacaan sama direkodkan di Sungai Terengganu di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Setiu, serta Sungai Kemaman dan Sungai Dungun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.