HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Penganjur piket ‘Kepung Demi Palestin’, pihak berkuasa capai persetujuan

-

Tian Chua berkata antara syaratnya adalah mereka perlu henti aktiviti libat pembesar suara sebelum 12 malam.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Penganjur ‘Kepung Demi Palestin’ setuju henti aktiviti melibatkan pembesar suara sebelum 12 malam, dan sedia tukar tempat berhimpun.

PETALING JAYA:
Penganjur piket “Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin” telah mencapai persetujuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan polis mengenai syarat-syarat tertentu bagi membolehkan protes diteruskan sehingga 31 Dis.

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua berkata antara syaratnya adalah mereka perlu menghentikan semua aktiviti melibatkan penggunaan pembesar suara sebelum jam 12 malam supaya tidak mengganggu ketenteraman orang awam.

“Ini kami setuju. Mesyuarat itu diakhiri dengan suasana yang baik dan kami pun memberi jaminan bahawa perhimpunan akan diteruskan dengan cara yang tertib,” katanya pada sidang media di Jalan Tun Razak.

Beliau juga berkata, pihaknya sedia untuk tukar tempat perhimpunan sekiranya DBKL dapat mencari lokasi bersesuaian.

“Pihak penganjur rela untuk bekerjasama sekiranya DBKL boleh mencari tempat yang lebih sesuai untuk kami teruskan himpunan tetapi dengan syarat ia harus berhampiran dengan Kedutaan AS,” katanya.

Tian Chua menambah pihaknya juga sedia untuk berhimpun tanpa khemah, selepas DBKL dikatakan bimbang ia akan membahayakan lalu lintas.

“Khemah ini hanya suatu simbolik bahawa orang Palestin hidup sengsara di bawah khemah. Itu sebab kami nak mendirikan. Kalau betul mereka benarkan kami himpun tanpa khemah, saya rela lakukan,” katanya.

Buat masa ini, mereka akan kekal di tempat berhimpun sekarang sementara menunggu makluman DBKL, tambahnya.

Mengulas tentang kertas siasatan yang dibuka polis lantaran piket dianjurkan tanpa permit, Tian Chua berkata pihaknya sedia bekerjasama sekiranya ada keperluan.

“Kami faham mereka jalankan tugas bila menerima aduan. Tiada isu timbul. Kami amat yakin kerana himpunan ini dijalankan dengan aman dan damai,” katanya.

Tunjuk perasaan ini membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum, susulan keengganan AS menyegerakan pengakhiran pada pertempuran di Palestin.

Semalam, lebih 100 orang berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke Kedutaan AS, bagaimanapun polis menghentikan ‘kepungan’ itu, kerana ia mahu memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.