HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Keluarga model Belanda dibunuh mohon PM campur tangan siasatan kes

-

Peguam keluarga itu mendakwa, mereka tidak mendapat sebarang maklumat terbaru daripada polis sejak 2019.

51
Shares
Total Views: 5,936
Free Malaysia Today
Model warga Belanda Ivana Smit, 18, meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur pada 7 Dis 2017.

PETALING JAYA:
Ahli keluarga Ivana Smit, yang meninggal dunia pada 2017, meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapatkan jawapan daripada polis mengenai siasatan kes kematian model warga Belanda itu, yang dikatakan dimulakan empat tahun lepas.

Smit, 18, meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur yang didiami pasangan warga Amerika pada 7 Dis 2017.

Sébas Diekstra, seorang peguam mewakili keluarga Smit berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis sejak satu sidang akhbar pada 2019.

“Keluarga (Smit) tidak menerima sebarang maklumat terkini. Tiada maklumat langsung,” katanya kepada FMT.

Menerusi ciapan di X, Diekstra menggesa perdana menteri agar campur tangan dalam kes tersebut memandangkan tiada komunikasi daripada pihak polis.

“Banyak persoalan penting yang belum terjawab. Adakah pihak ketiga yang terlibat dengan kematian (Smit)?

“Saya memohon Anwar agar mengarahkan pihak berkuasa berbuat sesuatu. Penglibatan beliau akan membantu keadilan ditegakkan untuk (Smit) dan keluarganya,” katanya dalam ciapan tersebut, yang turut memetik Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.

Pada Jun tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob memberikan jaminan bahawa akan ada ketelusan dan keadilan dalam siasatan kes kematian Smit, susulan panggilan telefon bersama Rutte.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Lawrence Sequerah memutuskan bahawa kematian Smit adalah disebabkan oleh “orang yang tidak diketahui”.

Lima hari kemudian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed mengumumkan, pasukan petugas akan menyiasat kes itu, yang diklasifikasikan semula daripada kematian mengejut kepada bunuh.

Seorang pakar patologi Belanda, yang memeriksa semula mayat Smit, mendapati tanda-tanda bahawa wanita itu bergelut sebelum kematiannya, berdasarkan kesan lebam di lengannya.

Smit menetap di Pulau Pinang bersama datuk dan neneknya sejak berusia tiga tahun.

FMT telah menghubungi polis untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.