
DOSH dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan menjalankan siasatan lanjut terhadap pihak pengurusan hotel selain merampas beberapa dokumen berkaitan kerja yang dijalankan.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Majikan mempunyai kawalan penuh terhadap sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
“Hal ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, DOSH memandang serius setiap kemalangan mahupun penyakit pekerjaan yang berpunca daripada mana-mana aktiviti dalam setiap sektor pekerjaan, selain komited meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam negara.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun maut akibat kecederaan parah di muka dan badan selepas terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan di hotel berkenaan.
DOSH memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api bagi sambutan ambang tahun baharu di hotel terbabit sebelum ia meletup secara tiba-tiba pada 11.50 pagi.
Susulan itu, DOSH mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram