HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Hutang RM20,000, 4 bulan makan nasi kuah dhal; derita ‘Bangla’ ditipu ejen

-

Di Kajang, kru FMT temui kira-kira 90 warga Bangladesh tersadai tanpa pekerjaan di sebuah ‘asrama’ sejak tiba.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Di sebalik kebuntuan selepas dikatakan ditipu ejen, sekumpulan warga Bangladesh berharap ada sinar baharu bagi menempuh kehidupan lebih baik.

KAJANG:
Rahman (bukan nama sebenar) hanya mampu menangis apabila mendengar suara ibunya meminta duit bagi membeli makanan untuk keluarga di Bangladesh, yang ditinggalkan sejak September lalu untuk mencari nafkah di Malaysia.

Sebagai bapa, hatinya runtun memikirkan dua anak perempuannya masih kecil menahan kelaparan begitu juga ibu, bapa serta isteri yang menetap di daerah Naogaon, kawasan terpencil di utara Bangladesh.

Free Malaysia Today
Lebih 90 warga Bangladesh yang dikatakan diperdaya ejen bersesak di asrama berkeluasan kurang 1,000 kaki persegi dan berkongsi dua bilik air.

Dia juga runsing memikirkan gangguan peminjam wang yang sering ‘berkunjung’ ke rumah keluarganya untuk menagih hutang RM20,000, yang dipinjam Rahman untuk membayar ejen bagi mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Ketika di tanah airnya, Rahman,34, bekerja sebagai imam di sebuah surau dan bayaran diterimanya amat kecil bagi menampung kehidupan keluarga; lantas tawaran ejen yang berkunjung ke kampungnya untuk ‘merekrut’ pekerja disambar segera.

“Ejen beritahu tak perlu lagi jadi imam, datang ke Malaysia untuk hidup senang… mereka kata boleh dapat gaji sampai RM3,000 sebulan.

“Tanpa fikir panjang, saya dan keluarga berhutang dengan peminjam wang untuk bayar ejen supaya saya dapat bantu ubah nasib keluarga,” katanya kepada FMT, dalam bahasa Urdu yang diterjemah oleh penterjemah disediakan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma).

Sehingga kini dia masih belum mendapat kerja seperti dijanjikan, malah setiap malam resah memikirkan nasib diri yang mungkin menjadi mangsa sindiket pekerja asing seperti dialami 171 warga Bangladesh di Pengerang, Johor, bulan lalu.

“Saya hanya mampu menangis, setiap malam saya tak boleh tidur. Harta keluarga saya sudah habis, sekarang keluarga di Bangladesh jadi taruhan.

Free Malaysia Today
Berdepan musibah ditipu ejen, warga Bangladesh sentiasa berdoa dugaan dihadapi mereka diangkat segera.

“Saya kena kerja secepat mungkin,” katanya yang menjadi imam setiap kali solat di ‘asramanya’.

Wartawan FMT bersama Papsma meninjau ‘asrama’ Rahman dikongsi bersama lebih 90 warga Bangladesh unit rumah kedai berkeluasan kurang 1,000 kaki persegi yang hanya mempunyai dua bilik air tanpa kemudahan asas seperti dapur serta barangan elektrik.

Keadaan ‘asrama’ yang sesak dan tidak terurus itu membangkitkan persoalan mengenai pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja oleh majikan dan ‘ejen’.

Free Malaysia Today
Untuk mengalas perut, mereka hanya makan nasi atau capati berlaukkan kuah dhal.

Untuk mengalas perut, mereka hanya menjamah nasi berlaukkan kuah dhal setiap hari selama empat bulan, disediakan oleh ejen.

“Sejak datang ke Malaysia saya langsung tak pernah sentuh ayam atau ikan,” kata Rahman sugul.

Papsma sumbang makanan asas

Free Malaysia Today
Wakil Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia beri bantuan makanan dan barang keperluan kepada warga Bangladesh yang dikatakan diperdaya ejen.

Kunjungan Papsma diketuai presidennya, Kris Foo Yin Choo, turut membawa barangan asas seperti beras, ayam, daging, bawang, minyak masak serta sabun yang juga disumbangkan oleh Agensi Pekerjaan Ami Awana; Agensi Pekerjaan Associates HR (KL); Agensi Pekerjaan Swaslink; dan Agensi Pekerjaan HR Assist.

Kris yang mempunyai perkhidmatan blok asrama pekerja berhampiran juga bersetuju meminjamkan peralatan memasak kepada warga Bangladesh terbabit.

Kumpulan pekerja asing itu mendakwa mereka membayar kira-kira RM20,000 seorang kepada ejen di Bangladesh untuk proses masuk dan bekerja ke Malaysia, namun setibanya di negara ini mereka ditempatkan di sebuah asrama kosong di Kajang tanpa sebarang pekerjaan sehingga kini.

Mereka mendakwa pasport dan dokumen lain dipegang oleh ejen di Malaysia, juga warga Bangladesh yang mengugut mereka untuk pergi cari kerja sendiri jika terus mendesak.

Rubel, 33, yang turut menjadi mangsa penipuan sindiket sama berkata ada rakannya dipindahkan ke transit lain di ibu negara sejak tiga hari lalu selepas mereka membuat laporan polis dan memanjangkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Malah, semasa FMT berada di premis itu, ejen mereka menghubungi salah seorang wakil pekerja terbabit supaya bersedia menaiki sebuah bas untuk dipindahkan ke transit lain.

Dedahnya, kira-kira 15 orang rakan mereka yang sudah dipindahkan masih tersadai tanpa kerja. “Kerja tak ada, tapi kami disuruh pindah sana sini.”

Rubel yang fasih berbahasa Malaysia, pernah menetap dan bekerja sebagai pemandu lori selama tujuh tahun di Brickfields, Kuala Lumpur, namun dihantar pulang pada 2022 kerana tidak mempunyai permit bekerja secara sah.

“Kali ini saya datang cara elok tetapi ejen tipu kami,” katanya yang turut berhutang dengan peminjam wang untuk membayar ejen di Bangladesh.

“Setiap malam saya nangis, harap ada orang boleh tolong kami, ” katanya berasal dari pinggir Dhaka.

Selepas berita ini ditulis semalam, FMT dimaklumkan oleh Papsma bahawa kumpulan warga Bangladesh ini dipindahkan ke sebuah asrama di Kuala Lumpur oleh ejen mereka, lantaran perhatian daripada media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.