
KFA dalam satu kenyataan berkata, Zulkifli dibebaskan selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasat berkait kes rasuah RM6 juta pada 2020.
Katanya, Zulkifli dibebaskan dengan jaminan SPRM bersama tiga lagi individu yang ditahan SPRM sebahagian daripada siasatan kes itu pada Jumaat lalu.
KFA juga menjelaskan bahawa tugas Zulkifli sebagai CEO adalah untuk melancarkan pentadbiran dan fungsi sekretariat persatuan itu.
Katanya, KFA juga tiada kaitan dengan mana-mana projek kerajaan negeri dan semua keputusan persatuan perlu diputuskan jawatankuasa eksekutif.
“Persatuan menafikan semua bentuk penglibatan rasuah. Seseorang adalah tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah.
“Sepanjang penubuhan persatuan, pendapatan utama adalah dari sumbangan syarikat dan badan-badan korporat. Sumbangan diterima adalah tanpa imbalan dan prasangka,” katanya.
Tambahnya, segala sumbangan wang yang diterima adalah direkodkan dalam laporan kewangan persatuan dan akan dibentangkan.
KFA juga menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menghentikan tuduhan tidak berasas kerana kes itu masih dalam siasatan.
SPRM pada Jumaat lalu, mendapat kebenaran untuk menahan reman Zulkifli dan tiga yang lain selama tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.
Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram