
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara berkaitan akan diputuskan pada mesyuarat rentas kementerian itu, pada 16 Jan.
“Perkara itu sememangnya kami akan perhalusi dalam mesyuarat nanti.
“Soal majikan bawa masuk kemudian pekerja tak ada pekerjaan, soal majikan gagal patuhi peraturan ditetapkan, soal undang-undang sedia ada baik bawah Akta Imigresen atau akta kerja apa sahaja itu menjadi tumpuan kami,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2024.
Sebelum ini, FMT melaporkan ramai pekerja asing ditipu apabila gagal mendapat pekerjaan setelah sampai di Malaysia, malah ada dalam kalangan mereka menderita berdepan hutang sehingga RM20,000, serta terpaksa makan nasi hanya dengan kuah dal selama empat bulan.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pihaknya bersama Jabatan Peguam Negara kini sedang merangka satu rang undang-undang (RUU) bagi penubuhan sebuah agensi tunggal kawalan negara (SBA) memantau sempadan negara.
Menurutnya, cadangan itu akan dibentangkan pada suku pertama tahun ini di Parlimen.
“Jemaah Menteri baru sahaja memberikan persetujuan untuk cadangan diadakan RUU bagi maksud menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan yang baharu,” katanya.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguatkuasa di 141 pintu masuk antaranya imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta kastam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram