HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Datasonic terima lanjutan kontrak penyelesaian pasport RM135 juta

-

Datasonic turut menerima surat penganugerahan KDN bagi pembekalan kad mentah MyKad, MyTentera, MyPoca dan bahan guna untuk JPN bernilai RM28.69 juta.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Lanjutan kontrak itu bagi pembekalan cip pasport Malaysia, dokumen pasport dan muka surat biodata polikarbonat selama enam bulan mulai 1 Dis lalu hingga 31 Mei ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Datasonic Group Bhd (Datasonic) menerima surat lanjutan (LoE) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pembekalan cip pasport Malaysia, dokumen pasport dan muka surat biodata polikarbonat selama enam bulan mulai 1 Dis lalu hingga 31 Mei ini.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, LoE itu melibatkan nilai kumulatif RM134.95 juta.

Datasonic turut menerima surat penganugerahan KDN bagi pembekalan kad mentah MyKad, MyTentera, MyPoca dan bahan guna untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selama enam bulan bermula 1 Dis lalu hingga 31 Mei ini dengan nilai kontrak sebanyak RM28.69 juta.

Katanya, LoE itu membabitkan nilai kontrak tambahan masing-masing RM60.20 juta bagi pembekalan cip pasport, RM25.33 juta bagi bekalan dokumen pasport, RM49.43 juta untuk bekalan muka surat biodata polikarbonat.

Bagi LoE bernilai RM134.95 juta itu, Datasonic turut memperoleh LoE bernilai RM11.35 juta bagi perkhidmatan penyelenggaraan komprehensif pusat kad di JPN bagi tempoh sama yang menjadikan nilai keseluruhan RM146.31 juta.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah menzahirkan rasa bangga kumpulan kerana dapat meneruskan peranan sebagai penyedia tunggal penyelesaian pasport kepada Jabatan Imigresen, usaha yang dipenuhinya sejak 2016.

“Begitu juga dengan penyelesaian MyKad, yang mana Datasonic berbesar hati dapat meneruskan perkhidmatan kami kepada pelanggan dan negara serta menjadi penyedia tunggal MyKad untuk JPN lebih 10 tahun sejak 2012.

“Ini jelas memaparkan bukti rekod prestasi dan penyampaian kami. Datasonic juga berupaya memenuhi lonjakan permintaan kukuh untuk pasport sejak pembukaan semula sempadan negara dan bagi MyKad ketika menempuh isu-isu seperti gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos input.”

Katanya, serahan pasport oleh Datasonic turut mencecah paras tinggi baharu dalam tahun kewangan sebelum ini (tahun kewangan 2023) dan kumpulan itu menjangkakan permintaan kekal kukuh kelak.

“Susulan peningkatan jumlah perolehan kontrak, ini hanya mengukuhkan lagi prospek pendapatan dan masa depan lebih cerah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.