![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F01%2F439120c4-juxt-studio-siti-nurhaliza-emel-pic-110124.jpg&w=3840&q=75)
Sejak beberapa tahun lalu, kumpulan tarian Juxt Studio sentiasa menjadi pilihan untuk mengiringi persembahan penyanyi itu termasuk di luar negara.
Antara tugasan besar berjaya dilaksanakan kumpulan itu adalah Music of The Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza, A Night to Remember di Persada Johor, Konsert Satu Suara Datuk Siti Nurhaliza Vol. 3, Konsert Kepci Music Fest, dan Anugerah TikTok 2023.
“Mereka sering bagi kelainan dalam gerakan tarian dalam lagu saya. Memang saya puas hati,” kata Siti Nurhaliza kepada FMT mengulas mengapa beliau sering memilih koreografer dan penari dari Juxt Studio.
Pelantun lagu ‘Aku Cinta Padamu’ itu turut mengakui serasi dengan kumpulan terbabit dan berharap mereka dapat terus berkarya untuk memeriahkan industri seni negara.
“Keserasian saya dengan Juxt (Studio) setakat ini memang Alhamdulilah. Teruskan berkarya,” katanya yang sudah beberapa kali konsert besarnya diiringi kumpulan itu.
![Free Malaysia Today](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fmedia.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2024%2F01%2F78af1d00-juxt-studio-siti-nurhaliza-emel-pic-110124-2.jpg&w=3840&q=75)
Bagi wakil kumpulan Juxt Studio, Naim Syahrazad, mengiringi Siti Nurhaliza menjadi impian kepada mana-mana individu kerana ‘auranya’ yang besar dan berdepan peminat fanatiknya.
Menjadi koreografer dalam konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 menjelajah Malaysia, Indonesia dan Singapura, Naim berkata mereka mungkin dipilih kerana dapat menyesuaikan dalam apa jua keadaan walaupun dipanggil pada saat-saat akhir.
“Mungkin TokTi kerap memilih kami sebab boleh menari pelbagai genre, selain itu perlu cepat sebab ada kemungkinan dapat tugasan saat akhir.
“Bekerja dengannya mudah sebab kita tahu peranan masing-masing,” katanya yang juga pensyarah tarian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Bagi pemilik Juxt Studio Melinda Kwong, pengalaman bekerja dengan Siti Nurhaliza membolehkan mereka mengenali sisi berbeza figura terkenal itu yang disifatkannya ‘kelakar dan peramah’.
“Apa yang semua orang tengok dia di media sosial, itulah dia. Dia tak palsu langsung,” katanya yang juga lulusan dari Aswara.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram