HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Skuad Harimau Malaya ‘tak cukup Malaysia’, kata bekas pemain

-

Dasar FAM berhubung penggunaan pemain asing naturalisasi dipersoalkan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Bekas pemain antarabangsa negara (dari kiri) Lim Fong Kee, James Wong dan C Nadarajan menggesa dasar penggunaan pemain asing naturalisasi dikaji semula.

PETALING JAYA:
Bekas pemain negara menggesa dasar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaturalisasikan pemain asing untuk skuad Harimau Malaya dilihat semula.

Lim Fong Kee, James Wong dan C Nadarajan berkata FAM perlu memfokuskan pembangunan bakat tempatan, bukannya bergantung kepada pemain naturalisasi.

“Berapa lama pemain naturalisasi ini akan bermain untuk negara? Saya tak nampak ada pemain cemerlang dalam kalangan mereka (pemain naturalisasi baru-baru ini),” kata Lim, bekas pemain Sukan Olimpik 1972.

“Di mana (pemain) akar umbi dan jurulatih tempatan kita? Saya pasti ramai rakyat Malaysia berminat membantu meningkatkan taraf bola sepak.”

Lim berkata kerajaan perlu melantik calon tepat untuk membangunkan bola sepak negara yang jauh ketinggalan berbanding Jepun dan Korea Selatan.

“Malah, Vietnam dan Thailand sudah memintas kita. Lantik orang yang tahu tentang bola sepak, bukannya politik,” kata bekas penjaga gol itu mengulas kritikan di media sosial berhubung kemasukan berterusan pemain naturalisasi dalam Harimau Malaya.

Sejak 2015, sejumlah pemain dinaturalisasi dan menyertai skuad kebangsaan.

Mereka termasuk Lee Tuck (England), Guilherme de Paula, Endrick dos Santos Parafita dan Paulo Josué (Brazil), Ezequiel Agüero (Argentina), Mohamadou Sumareh (Gambia), Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Romel Morales (Colombia).

Untuk Piala Asia bermula Sabtu ini, hanya Endrick, Paulo, Morales dan Sumareh dalam skuad itu.

Sementara itu, Wong, yang gol kemenangannya menentang Korea Selatan melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, menganggap skuad kebangsaan “tak cukup Malaysia”.

“Ia seperti pasukan asing berwajah baharu. Saya tak pasti sama ada pemain naturalisasi akan terus menetap di Malaysia selepas menamatkan kerjaya mereka.

“Saya tak setuju dengan pemberian kerakyatan demi bola sepak. Kenapa kita tidak boleh membangunkan pemain kita sendiri?” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengkritik proses naturalisasi pemain asing dengan mempersoalkan sama ada kanak-kanak tanpa kerakyatan perlu mempertimbangkan bola sepak profesional sebagai kerjaya untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Begitu juga, bekas pemain pasukan kebangsaan, Santokh Singh yang mengkritik amalan terlalu bergantung kepada pemain naturalisasi sebagai “kurang bijak”.

Nadarajan, bekas penyerang kebangsaan, berkata tidak adil pemain bola sepak diberikan kerakyatan sedangkan ramai individu lahir di negara ini belum memiliki kewarganegaraan.

Katanya dasar menaturalisasikan pemain perlu dikaji semula dan pada masa sama melatih pemain tempatan setanding pemain asing.

“Hanya tiga hingga empat pemain (tempatan) bermain secara tetap. Selepas bertahun-tahun pembangunan, adakah kita hanya mampu mengetengahkan empat pemain (tempatan) di peringkat kebangsaan?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.