HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Polis didakwa rogol pelajar

-

Fazrul Razzi Yunus berdepan empat pertuduhan termasuk menggunakan objek ketika melakukan serangan seksual.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Anggota polis Fazrul Razzi Yunus (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini. (Gambar China Press)

AMPANG:
Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan termasuk merogol pelajar bawah umur dalam sebuah kereta peronda di tepi jalan pada 9 Jan lalu.

Tertuduh, Fazrul Razzi Yunus 31, turut didakwa melakukan persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan, menggunakan objek ketika serangan seksual dan amang seksual terhadap remaja tersebut.

Kesalahan itu dilakukan dalam sebuah kereta peronda polis di tepi Jalan Persiaran Saujana Ampang pada 10.30 malam, 9 Jan lalu.

Fazrul didakwa mengikut Sekyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan objek ketika serangan seksual yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Anggota polis berpangkat lans koperal itu juga didakwa melakukan serangan seksual mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Fazrul mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu.

Peguam tertuduh, Visvanathan Nair memohon Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan anak guamnya dikenakan jamin rendah kerana masih perlu mencari rezeki. Tertuduh juga perlu menanggung dua anak masing-masing berusia empat dan setahun serta mengalami penyakit saraf dan otot.

Norshila membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak dibenarkan berada berdekatan mangsa.

Mahkamah menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Fazrul dan seorang lagi anggota polis Adib Aikal Shahrul Nizam, 24, didakwa atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap teman lelaki pelajar tersebut.

Kedua-dua tertuduh didakwa meminta wang RM500 sebagai balasan untuk tidak menyebarkan rakaman video pasangan itu bercumbu.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Ampang Hillview pada 10.09 malam, tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Fazrul dan Adib yang berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Majistret Amalina Basirah Top membenarkan mereka dibebaskan dengan jaminan RM4,000 setiap seorang.

Adib diwakili peguam Kee Wei Lon manakala semua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad dan Zahida Zakaria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.