
TH berkata, sistem pendaftaran haji terbuka yang dilaksanakan sejak 1995 itu berdasarkan konsep “mendaftar dahulu, didahulukan”.
Apabila bakal jemaah terpilih dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih sama ada ingin menunaikan haji melalui TH (muassasah) atau melalui syarikat pengendali jemaah haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH.
“Bakal haji yang memilih syarikat PJH adalah mereka yang berkemampuan untuk membayar lebih daripada kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik daripada muassasah.
“Dakwaan bahawa TH hanya mengendalikan 11,000 jemaah pada tahun ini adalah tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70% hingga 80% adalah melalui muassasah.
“Syarikat PJH pula membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di Tanah Suci, termasuk bayaran wajib yang dikenakan oleh pihak Arab Saudi,” menurut TH dalam kenyataan.
Bahang musim haji yang dilaksanakan pada bulan Zulhijah mengikut kalendar Islam itu mula terasa, dengan ribuan pendeposit TH mula menerima surat jemputan menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Arab Saudi memberikan kuota 31,600 jemaah haji kepada TH tahun ini, sama seperti tahun sebelumnya, namun tersebar dakwaan di media sosial bahawa TH hanya menguruskan sekitar 11,000 jemaah muassasah, sementara selebihnya diberikan kepada agensi pelancongan dipilih TH.
Menerusi perkongsian seorang pendeposit TH di Facebook, beliau sudah membuat rayuan dua tahun berturut-turut kepada TH untuk mengerjakan haji, namun masih tiada jawapan.
Beliau turut meluahkan kekecewaannya berhubung sistem penggiliran yang menurutnya terlalu lama sehingga menyebabkan ada jemaah mencari agensi pelancongan untuk ke Tanah Suci.
Terdahulu, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) menggesa kerajaan membuka kuota haji kepada agensi swasta sebagai usaha membantu umat Islam segera menunaikan ibadat itu berbanding kaedah penggiliran.
FMT melaporkan presidennya, Mohd Khalid Harun berkata, sistem digunakan kini tidak lagi sesuai kerana ramai pencarum terpaksa menunggu giliran berpuluh tahun, walaupun simpanan mereka sudah mencukupi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram