HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

‘Ganja kubur Cina’ hampir RM500,000 dirampas, polis tahan 2 lelaki

-

Polis Pulau Pinang merampas antaranya 100 bungkusan ganja mampat disembunyikan dalam kubur Cina dipercayai dikorek lubang untuk menyimpan stok.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Antara bungkusan ganja mampat disembunyikan dalam kubur Cina yang dirampas polis. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN:
Taktik sindiket dadah menyimpan bekalan ganja dalam kubur Cina di Mount Erskine, Pulau Tikus, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berjaya dibongkar polis dalam siri serbuan selepas menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai RM496,088 pada Rabu dan Khamis lalu.

Dalam siri serbuan itu, polis berjaya merampas antaranya 100 bungkusan ganja mampat disembunyikan dalam sebuah kubur Cina lama dipercayai dikorek lubang kira-kira 60cm untuk menyimpan stok ganja tersebut.

Ketua Polis Timur Laut, Razlam Ab Hamid, berkata dalam serbuan itu pihaknya pada mulanya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di tepi jalan di kawasan Estate Hong Seng pada 4 petang dan merampas ganja seberat 7.82g bersamanya.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki berumur 35 tahun kira-kira 300m dari tempat suspek pertama ditahan dan merampas ganja serta syabu bernilai hampir RM10,000,” katanya pada sidang media.

Katanya, lelaki kedua itu seterusnya membawa pasukan polis ke sebuah pondok dalam hutan di perkampungan Estate Hong Seng dan polis merampas 45 bungkusan ganja mampat seberat hampir 50kg di situ.

Razlam berkata, semua ganja bernilai RM154,869 itu disembunyikan dalam dua guni dan disimpan di pondok tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, hasil soal siasat, lelaki pertama yang ditahan itu kemudian membawa polis ke kawasan tanah perkuburan Cina di situ dan menemukan 100 bungkusan mampat ganja seberat 102.9kg bernilai RM331,272 yang disorok dalam sebuah kubur.

“Kubur itu merupakan kubur lama dan jauh dari kawasan perkuburan baharu di situ, sindiket tersebut dipercayai mengorek lubang dalam kubur itu kira-kira 60cm untuk menyimpan ganja-ganja tersebut,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai daripada rangkaian sindiket yang sama dan mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak Disember lalu.

Katanya, mereka dipercayai mendapat bekalan ganja dari negara jiran dan semua ganja tersebut adalah untuk bekalan pasaran tempatan.

“Dua lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah serta mempunyai pelbagai rekod lampau itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.