
Setiausaha Persatuan Pemilik Gaya Rambut Salun India Malaysia, M Meenaq Kumar, mencadangkan segala proses permohonan dipermudahkan dengan memberi kelulusan kuota pekerja asing kepada pemilik premis berpandukan bilangan kerusi.
“Misalnya kalau ada lima kerusi di kedai bermakna saya boleh dapatkan empat pekerja asing dan seorang pekerja tempatan. Saya boleh buat persediaan mengikut kuota diiberi.
“Kemudian bagi enam bulan atau setahun untuk pemilik penuhi kriteria ditetapkan KSM. Jika gagal berbuat demikian, kementerian boleh rujuk kepada Jabatan Imigresen untuk memberhentikan pembaharuan permit pekerja asing sehingga peroleh kelulusan daripada jabatan berkaitan,” katanya kepada FMT.

Meenaq berkata, pemilik premis perlu menyediakan penginapan kepada pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Tenaga Kerja terlebih dahulu bagi meneruskan proses permohonan kuota.
“Belanja beribu-ribu tetapi belum tahu lagi bila dapat kelulusan, dan bila pekerja asing akan masuk. Kalau ia ambil masa enam bulan untuk bawa mereka masuk, saya perlu bayar sewa rumah itu walaupun belum didiami pekerja.
“Apabila saya siap belanja, menyediakan penginapan semua, KSM tidak bagi bilangan kuota yang dipohon, 90% permohonan ditolak. Daripada lima pekerja dipohon…mungkin bagi seorang sahaja, sedangkan saya sudah belanjakan wang bagi penginapan lima pekerja itu,” katanya.
Katanya, garis panduan penginapan pekerja daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak setara di setiap negeri turut merumitkan proses permohonan itu.
Pada 20 Jan lalu media melaporkan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan berkata kedai gunting rambut dan pembuat barang kemas antara sektor masih mengalami kekurangan pekerja.
Katanya, beliau dimaklumkan masih ada 5,000 daripada kuota yang diumumkan belum dipenuhi.
September lalu, Jemaah Menteri bersetuju membuka 7,500 kuota bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas susulan pembukaan semula pengambilan pekerja asing sektor berkaitan yang dibekukan sejak 2009.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram