
Katanya, walaupun pihaknya telah menerima laporan berkenaan daripada JPSM, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan perkara terbabit benar-benar tidak berlaku.
“Laporan awal JPSM yang kita terima ialah tiada aktiviti pembalakan atau penerokaan yang haram, tetapi kita akan terus teliti sebab kita terima aduan daripada pihak NGO dan sebagainya.
“…daripada apa yang diperkatakan, data daripada satelit dan sebagainya, untuk kita meneliti lanjutlah bagi memastikan memang betul tidak ada pencerobohan di sana,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja Program Rumah Ibadat Hijau di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah.
Beliau berkata, lembangan di kawasan hutan simpan itu sangat sensitif kerana melibatkan bekalan air untuk tiga negeri iaitu Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.
Baru-baru ini, NGO berkaitan alam sekitar, RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan HSUM menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.
Kajian itu dilakukan menerusi pantauan imej satelit yang mendapati Empangan Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac 2023, selain keadaan itu didapati semakin membesar pada Oktober lalu.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata syor untuk menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air Ulu Muda bukanlah suatu perkara baharu.
“…tetapi kita tahu bahawa realiti hari ini Perlembagaan kita menyebut (terkandung) tentang pengurusan sumber air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jadi, sebab itu pendekatan yang kita ambil ialah untuk menggalakkan perbincangan antara kerajaan-kerajaan negeri terlibat,” katanya.
Cadangan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda dikemukakan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan entiti itu bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air di Ulu Muda.
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor kemudian dilapor menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan campur tangan dalam hal ehwal wilayah Kedah dan bertekad tidak akan membenarkan cadangan seumpama itu dilaksanakan selagi Kedah di bawah pentadbirannya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram