HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jangan ‘terbuai’ gah menang undi Melayu, penganalisis ingatkan PAS

-

Tanpa undi bukan Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak, cita-cita menawan Putrajaya mungkin boleh diibaratkan ‘mimpi di siang hari’, kata Azmi Hassan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
PAS menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15 terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

PETALING JAYA:
PAS diingatkan tidak terlalu “terbawa-bawa” kejayaan menguasai undi Melayu, tetapi perlu “insaf” kekurangan menambat pengundi komuniti lain yang menghalang cita-cita menawan Putrajaya, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pencapaian mengekalkan pentadbiran di Kedah, Terengganu, dan Kelantan selain merampas Perlis tidak boleh dianggap sebagai kelebihan sebaliknya perlu tumpu cabaran utama menawan Putrajaya.

Menurutnya, tanpa undi bukan Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak, cita-cita menawan persekutuan mungkin boleh diibaratkan “mimpi di siang hari” dan inilah masalah terbesar Perikatan Nasional (PN).

“PN berada dalam keadaan tercorot (sokongan undi bukan Melayu), malah lebih corot berbanding Umno,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa kerjasama PH-BN kekal sehingga selepas PRU16, memudahkan pengundi Melayu membuat pendirian awal.

Zahid pada konvensyen kerajaan perpaduan di Ipoh baru-baru ini berkata beliau yakin kerajaan perpaduan akan kekal memerintah sehingga selepas PRU16, sekiranya semua peringkat dalam parti-parti gabungan mempertahankan keikhlasan dan kesepakatan, diikuti dengan perundingan yang telus.

Azmi berkata PAS mungkin berpuas hati dengan kejayaannya menawan empat negeri, namun tidak boleh menafikan cita-cita Bersatu untuk duduk di Putrajaya.

“Untuk PAS keluar sama ada mentadbir negeri lain (atau ke Putrajaya) agak sukar kerana komposisi pengundi bercampur antara Melayu dan bukan Melayu.

“Dan PAS dikatakan sudah puas hati dengan pentadbiran empat negeri tetapi tidak Bersatu, kerana Bersatu mahukan kerajaan persekutuan.”

Sementara itu, Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju dengan kenyataan Fadhli namun berpendapat parti itu tidak seharusnya terlalu fokus kepada kelompok undi Bumiputera.

“Kalau hanya undi Melayu, sukar untuk menang terutama di kawasan bandar,” katanya.

Sementara bagi PH-BN katanya, gabungan itu tidak perlu terbawa-bawa dengan pendekatan PN yang terus mencipta sentimen dan persepsi untuk meraih undi.

“Untuk kekal berkuasa PH-BN hanya perlu buktikan mereka serius memartabatkan agenda bumiputera.”

Untuk rekod, PAS bawah PN menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15 – pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya yang dilabel ramai sebagai “gelombang hijau” kerana penguasaan terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.