Hashim ‘yakin’ ada perbincangan PAS-Umno hidupkan MN

Hashim ‘yakin’ ada perbincangan PAS-Umno hidupkan MN

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata meskipun belum ada pertemuan rasmi namun perbincangan secara tidak langsung ada di semua peringkat kepimpinan.

Muafakat Nasional (MN) digagaskan ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang sebagai penyatuan ummah pasca PRU14 dimenangi Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS “yakin” telah ada perbincangan secara tidak langsung di antara pimpinan parti itu dengan Umno bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Mursyidul Am Hashim Jasin berkata ramai masih percayakan pintu MN belum tertutup dan mahu meneruskan kerjasama digagaskan ketika keduanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 dimenangi Pakatan Harapan (PH).

“Pertemuan rasmi mungkin belum ada. Tetapi secara tidak langsung, saya yakin usaha itu ada di semua peringkat kepimpinan. Mereka masih percaya pintu kerjasama MN masih belum tertutup.

“Rentetan pelbagai isu menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam sejak kebelakangan, saya sudah nampak wujud kesedaran dalam kalangan pemimpin Umno,” katanya menurut Sinar Harian.

Hashim Jasin.

Bekas Adun Sanglang itu berkata isu berkenaan antaranya membabitkan pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dari DAP mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

PAS dan Umno sebelum ini saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka, hampir lima tahun lalu.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekali gus mahukan parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Mendakwa PAS tidak pernah mengisytiharkan Umno sebagai musuh, Hashim berkata kedua-dua parti perlu melupakan persengketaan sesama mereka dengan menjadikan matlamat penyatuan ummah sebagai agenda utama melebihi kepentingan politik parti masing-masing.

“Umno kena pertimbang semula soal perpaduan Melayu Islam kerana Bersatu masih boleh merendahkan ego mereka dan bersetuju menerima Umno demi perpaduan ummah.

“PAS pula tidak boleh menerima DAP kerana kita tahu parti itu tidak pernah merestui agenda perpaduan ummah yang cuba direalisasikan MN,” katanya yang turut mendakwa hubungan Umno dan DAP sukar dipertahankan susulan pelbagai isu muktahir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.