HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jadikan iktibar, Umno beritahu DAP usai polemik cadangan Kg Baru Cina tapak Unesco

-

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki sebarang pandangan atau cadangan perlu dibincangkan secara tertutup di Kabinet dan sekretariat kerajaan perpaduan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Asyraf Wajdi Dusuki menghargai tindakan Nga Kor Ming yang enggan lagi memanjangkan isu cadangan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

PETALING JAYA:
Umno berharap DAP mengambil iktibar daripada isu Kampung Baru Cina, sambil menegaskan sebarang pandangan atau cadangan selepas ini perlu dibincangkan secara tertutup supaya tidak menjadi polemik di kalangan masyarakat.

Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau secara peribadi berterima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang enggan lagi memanjangkan isu cadangan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Diharapkan apa juga isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan dan perbincangan secara tertutup di kalangan anggota Kabinet dan sekretariat kerajaan perpaduan dapat diadakan terlebih dahulu pada masa akan datang.”

Beliau yang juga pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut menyatakan kesediaan membantu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membantu agenda kemiskinan bandar, termasuk kemudahan infrastruktur, rumah mampu milik generasi muda, serta pelbagai isu menyentuh kualiti hidup rakyat di ibu kota khususnya.

“Banyak keutamaan lain yang perlu kerajaan perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping memperbaiki kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek.

“Isu-isu yang disebutkan ini melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Nga yang juga naib pengerusi DAP sebelum ini dilaporkan bercadang mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia, bertujuan untuk mengiktiraf perkampungan berusia 76 tahun itu dari segi sejarah dan kepentingan budaya.

Beliau mengajak Umno berbincang susulan kenyataan beberapa pemimpin parti itu yang dilaporkan menolak keras cadangan itu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata tiada keperluan untuk kampung itu dijadikan tapak warisan dunia, manakala Asyraf menegaskan cadangan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan, yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan keistimewaan tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.