HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Sumbang mahram dengan adik 12 tahun, penuntut IPT mengaku tak salah

-

Tertuduh berusia 22 tahun didakwa melakukan sumbang mahram dengan adik bongsunya di sebuah rumah di Sikamat pada 2021.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Seorang penuntut IPT berusia 22 tahun mengaku tidak bersalah atas kesalahan sumbang mahram di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. (Gambar Bernama)

SEREMBAN:
Seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik kandungnya pada 2021.

Lelaki berusia 22 tahun itu membuat pengakuan terbabit selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan adik bongsunya yang berusia 12 tahun lapan bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Sikamat pada Januari dan Mac 2021.

Kesalahan didakwa dilakukan bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta sebatan jika sabit kesalahan.

Tuduhan itu turut dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Jiwan Kaur Malkith Singh memohon supaya tiada jaminan ditawarkan bagi tertuduh memandangkan mangsa dengan tertuduh merupakan adik-beradik dan tinggal di alamat yang sama.

Peguam mewakili tertuduh, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris meminta jaminan paling rendah dikenakan memandangkan tertuduh sedang mengikuti pengajian diploma dan akan memulakan latihan industri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali serta tinggal di tempat berasingan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.