
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kerja-kerja mengalihkan tangki terbabit dilakukan pada 11.30 pagi.
Bagaimanapun katanya, setakat ini keadaan semasa di tempat kejadian dilaporkan terkawal dan pulih sepenuhnya.
“Pihak kilang menghubungi vendor untuk pembaikan injap terbabit. Operasi tamat pada jam 6.30 petang tadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sehingga kini seramai 33 dilaporkan mengalami sesak nafas susulan insiden terbabit.
“Siasatan mendapati, seramai 14 pekerja wanita dari kilang berkenaan dan 19 pekerja lelaki dari kilang bersebelahan mengalami sesak nafas.
“Semua mangsa sudah dihantar ke beberapa hospital sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan rawatan dan semua dalam keadaan stabil,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya mengarahkan semua penghuni premis melakukan pengasingan ke tempat yang selamat.
“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 pagi tadi dan sebaik tiba di lokasi mendapati, kejadian membabitkan kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas ammonia.
“Kerja-kerja bagi menutup injap bocor dilakukan oleh Pasukan Khas Hazmat JBPM Negeri Selangor bagi memastikan tiada lagi terdapat kebocoran,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram