
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata apa dinyatakan ketua jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup itu berupa “satu cadangan” dan belum lagi diputuskan Jemaah Menteri.
“Pada waktu ini, belum ada pemakluman atau perbincangan di Kabinet mengenai ketetapan (satu gred beras putih) tersebut. Jadi ia bukanlah U-turn (pusingan U).
“Bagaimanapun, saya lihat kenyataan Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu berniat baik dan hasratnya ialah untuk membantu mengurangkan harga barang,” katanya menurut Bernama.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Beliau berkata selain itu, dalam konteks ekosistem beras, perbincangan dan penyelarasan juga perlu dilakukan bersama pengusaha, pekedai, dan peruncit.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Mohamad berkata, sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Kenyataan itu susulan daripada pengumuman Syed Hussin pada 14 Feb, yang dilaporkan berkata tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam dilapor berkata isu harga kawalan beras, akan menjadi salah satu agenda utama pada mesyuarat Naccol, minggu depan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram