
Noor Azimah Abdul Rahim dari Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), berkata SJKC menawarkan “alternatif menarik” kepada ibu bapa yang berpandangan sekolah kebangsaan sebagai institusi Melayu dan keagamaan.
Azimah berkata, walaupun ibu bapa bukan Cina mengakui kepentingan anak mereka mempelajari bahasa Melayu, namun mereka juga “pragmatik” menghargai peranan Mandarin.
Itulah sebabnya mengapa SJKC tidak dipelopori oleh pelajar Cina semata-mata.
“Ia menjadi pilihan popular walaupun dalam kalangan bukan Cina yang melihat kepentingan mempelajari Mandarin,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kebimbangan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin terhadap jangka hayat SJKC memandangkan penurunan kadar kelahiran masyarakat Cina.
Pada Khamis, ahli pendidikan dan bekas Ahli Parlimen Kua Kia Soong menolak kebimbangan Sim itu. Katanya, populariti SJKC dalam kalangan orang Melayu bukti kelangsungannya.
Pada 2021, Presiden Majlis Bahasa Cina Malaysia Eddie Heng, dilaporkan berkata lebih 20% pelajar di SJKC terdiri bukan Cina.
Azimah berkata, populariti SJKC dalam bukan Cina sepatutnya “menyedarkan” Kementerian Pendidikan.
“Tiba masa bagi kementerian membuat refleksi dan mengikuti tuntutan serta keperluan pendidikan abad ke-21.”
Dalam pada itu, Tajuddin Rasdi dari UCSI University, berkata SJKC perlu “memikirkan hala tujunya” demi memastikan institusi itu kekal bertahan.
Tajuddin mencadangkan sekolah Cina meningkatkan jumlah subjek untuk diajar dalam bahasa Melayu.
“Mungkin mereka boleh mengajar sejarah dalam bahasa Melayu untuk menarik lebih ramai (pelajar) bukan Cina demi menyelamatkan sekolah itu.”
Katanya, SJKC penting sebagai “pintu masuk” ke China mengambil kira keunggulannya republik itu dari segi ekonomi.
Beliau berhujah sekolah berkenaan mampu melahirkan tenaga kerja dan rakan perniagaan bukan sahaja fasih Mandarin, malah disemai dengan budaya kerja celik niaga.
China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram