
Hakim Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Nurul Hidayah Md Nor, 32.
“Secara ringkas, mahkamah mendapati pendakwaan telah gagal membuktikan wujudnya elemen mangsa dieksploitasi sebagai orang yang diperdagangkan.
“Mengikut keterangan yang dibacakan, mangsa mengaku meminta sedekah atas kehendaknya sendiri dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak termasuk tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.
“Mahkamah juga membenarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh sebelum ini dikembalikan,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi yang menyalahi undang-undang iaitu Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Tertuduh didakwa telah menyuruh lelaki itu meminta sedekah di tempat awam sedangkan beliau mampu mempunyai mata pencarian yang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei 2021 hingga 7 Nov 2021.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Enteri Mawan mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram