
Sumber memberitahu FMT Business, bayaran dividen sehingga 5.6% dalam jangkauan susulan sebahagian besar disumbang prestasi memberangsangkan dana pelaburan luar negara.
KWSP dijangka akan membuat pengumuman sebelum hujung minggu ini, dan sumber berkata pencarum diramal memperoleh dividen antara 5.4% hingga 5.6% bagi simpanan konvensional, meningkat berbanding 5.35% pada 2022.
Bagi simpanan syariah, dividen dijangka pada kadar 4.9% hingga 5.1%, berbanding 4.75% tempoh sama.
Sumber lain berkata, walaupun terdapat penurunan pendapatan pada suku terakhir dan ekuiti domestik tidak berprestasi baik, pelaburan luar pesisir pula menjadi pengimbang.
Dividen sepatutnya lebih tinggi jika pasaran ekuiti tempatan menunjukkan prestasi lebih baik.
Katanya, pelaburan ekuiti global KWSP menunjukkan prestasi. Akaun pelaburan luar pesisir KWSP mewakili 38% daripada keseluruhan asetnya.
Pendapatan pelaburan KWSP direkodkan RM47.86 bilion pada sembilan bulan pertama 2023, pertambahan 33% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada 2022, KWSP membayar dividen keseluruhan RM51.14 bilion, iaitu RM45.44 bilion bagi simpanan konvensional dan RM5.7 bilion bagi simpanan syariah.
Walaupun berdepan impak Covid-19 pada permulaan 2020, KWSP masih mampu memberi pulangan dividen pada kadar tinggi.
Pada 2020, dividen simpanan konvensional pada kadar 5.2%, manakala syariah pula 4.9%.
Pada 2021, dividen simpanan konvensional dan syariah masing-masing 6.1% dan 5.65%, manakala 2022 masing-masing pada kadar 5.35% dan 4.75%.
Dividen tertinggi pernah diumumkan pada kadar 8.5% pada 1983 dan 8% bermula 1988 hingga 1994.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram