HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pegawai kanan didakwa guna kekerasan dilepas tugas perintah

-

Markas Tentera Darat tindakan itu susulan seorang pegawai mendakwa pegawai itu menampar dan menendang ketika mangsa jalani latihan peringkat formasi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Tentera darat menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti terdapat unsur salah laku dan guna kuasa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Tentera darat mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penggunaan kekerasan seorang pegawai kanannya di Sarawak, terhadap seorang lagi pegawainya.

Markas Tentera Darat memaklumkan, laporan polis telah dibuat mangsa pada Ahad lalu, berikutan kejadian yang didakwa berlaku semasa mangsa sedang menjalani latihan peringkat formasi dan laporan berkenaan telah tular di media sosial.

“Laporan tersebut mendakwa mangsa telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan berkenaan, sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan trauma tumpul.

“Pihak kami menegaskan organisasi ini akan menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti antara punca kejadian, bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebagai tindakan, pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan pihaknya melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Sekiranya terbukti terdapat unsur salah laku dan guna kuasa seperti yang didakwa, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan tentera darat yang sedia ada,” katanya.

Kenyataan terbabit memaklumkan Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan, memandang serius berkenaan dakwaan itu dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku, jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

“Tentera darat berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif, yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.