Stoking kalimah Allah: Pengasas KK Mart mengaku tak salah lukakan perasaan agama lain

Stoking kalimah Allah: Pengasas KK Mart mengaku tak salah lukakan perasaan agama lain

Selain Chai Kee Kan, turut didakwa isterinya Loh Siew Mui yang juga pengarah syarikat.

Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan pengasas KK Mart Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui diikat jamin RM10,000.
SHAH ALAM:
Pengasas KK Mart dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Chai Kee Kan, 57, dan Loh Siew Mui,53, yang juga pengarah syarikat itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Masri Mohd Daud manakala Chai dan Loh diwakili Rajpal Singh.

Sementara itu, Rajpal memohon ikat jamin RM5,000 yang disifatkan mencukupi bagi memastikan anak guamnya hadir ke mahkamah.

“Anak guam saya adalah ketua dalam syarikat itu dan dia mempunyai 5,000 kakitangan dengan 810 cawangan di seluruh negara juga di Nepal, India dan Brunei.

“Beliau aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan dan seorang dermawan.Saya percaya tiada sebab untuk beliau melarikan diri,” katanya.

Muhamad Anas kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 29 April depan sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.