HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Terbuka atau senyap-senyap, polis tak boleh terima duit raya, kata peguam

-

SN Nair berkata, kerajaan serta SPRM menggariskan peraturan yang jelas berhubung penerimaan hadiah.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Peguam kanan SN Nair berkata, anggota polis diletakkan dalam kedudukan yang sukar jika mereka ditawarkan duit raya.

PETALING JAYA:
Anggota polis tidak boleh menerima duit raya atau angpau, sama ada secara terbuka mahupun senyap-senyap, kata seorang peguam kanan.

SN Nair, yang juga bekas pegawai kanan polis berkata, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh meletakkan anggota polis di Jasin, Melaka, dalam kedudukan yang sukar apabila beliau memberikan duit raya kepada mereka baru-baru ini.

Katanya, anggota polis terbabit tidak mahu menyinggung perasaan Akmal dengan menolak pemberiannya secara terbuka, terutamanya apabila beliau seorang Adun.

“Akmal sebagai wakil rakyat sepatutnya lebih peka apabila berurusan dengan anggota polis. Saya kasihan dengan anggota polis yang bekerja keras namun turut menerima tempias akibat agenda politiknya yang jelas.

“Jika benar beliau berhati mulia seperti didakwanya, beliau haruslah memberikan sumbangan yang besar kepada dana kebajikan polis,” katanya kepada FMT.

Nair berkata, bukan sahaja perintah am kerajaan jelas mengenai perkara ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyatakan yang sama di laman sesawangnya, berdasarkan peruntukan dalam pekeliling berkaitan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, menurut tatakelakuan penjawat awam, pegawai awam tidak dibenarkan menerima atau memberi sebarang hadiah termasuk melalui pihak lain yang berkaitan dengan tugas rasmi mereka.

“Bagaimanapun, dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan atau diragui, pegawai itu harus dengan segera melaporkan (pemberian hadiah tersebut) kepada ketua jabatan,” kata Nair, memetik laman sesawang SPRM.

Beliau mengulas tindakan Akmal memberikan duit raya RM20 setiap seorang kepada 420 anggota polis di Jasin.

Selepas tindakannya ini dikritik orang awam, ketua Pemuda Umno itu berkata, ia sumbangan “ihsan peribadi”, yang sememangnya diperuntukkan setiap Ramadan untuk “menghargai mereka yang banyak berjasa kepada masyarakat”.

“Tak salah (bagi duit raya) … tetapi salah kalau beri secara senyap-senyap. Ini saya bagi secara terbuka dan duit raya itu pun RM20 seorang dapat.

“Lainlah kalau saya bagi ketua balai sahaja,” katanya.

Dalam kes ini, Nair berkata, anggota polis dikehendaki membuat laporan bertulis kepada pihak atasan sebelum mereka boleh menyimpan wang tersebut.

“Nampak tidak elok apabila anggota polis berpakaian seragam menerima sebarang bentuk hadiah, terutamanya wang tunai, ketika sedang bertugas.

“Menurut Seksyen 19 Akta Polis, mereka disifatkan sebagai sentiasa bertugas,” katanya.

Nair sependapat dengan Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain yang sebelum ini menegaskan bahawa menjadi suatu kesalahan bagi anggota polis menerima angpau semasa bertugas. Katanya, perbuatan ini salah kerana sumbernya boleh dipersoal dan ditafsirkan sebagai unsur rasuah.

“Saya yakin KPN bercakap berdasarkan peraturan polis sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.