Afidavit Zahid ada silap fakta, kata Tengku Zafrul

Afidavit Zahid ada silap fakta, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz akan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk memfailkan afidavit membetulkan kesilapan fakta tersebut.

zafrul
Tengku Zafrul Aziz berkata keputusan memfailkan afidavitnya bukan mempertikaikan merit isu sedang berlangsung.
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Aziz akan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit Presiden Umno Zahid Hamidi berhubung tahanan rumah Najib Razak.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam kenyataan berkata pendirian memfailkan afidavit itu yang dibuat selepas mendapat nasihat undang-undang bukan untuk mempertikaikan merit isu sedang berlangsung.

“Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi dapat menilai semua fakta material dengan sewajarnya.

“Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berkata pihaknya akan membawa perkara dibangkitkan Zafrul itu kepada mahkamah.

Terdahulu, media melaporkan afidavit difailkan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu mendakwa melihat perintah tambahan untuk Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri mendakwa beliau dimaklumkan perkara itu oleh Tengku Zafrul dalam pertemuan di kediamannya pada 30 Jan lalu.

Malah, katanya Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut maklum kewujudan perintah tersebut.

Zahid mendakwa Tengku Zafrul turut memaklumkan perintah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertarikh 29 Jan 2024.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan Najib meneruskan usahanya bagi memaksa kerajaan mendedahkan perintah tambahan yang didakwa daripada Agong terdahulu.

Najib memfailkan permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Perintah tambahan itu supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Beliau sebelum ini diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjadikan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.