
Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM188.2 juta bagi Adun Sabah tahun ini.
“Kerajaan negeri tidak meminggirkan kawasan diwakili Adun pembangkang daripada menerima peruntukan khas ini. (Peruntukan) disalurkan terus ke pejabat daerah untuk manfaat rakyat,” katanya pada sidang DUN Sabah, lapor The Borneo Post,
“Bagaimanapun, jika ada keperluan lebih dana, Adun pembangkang boleh secara langsung memohon kepada kerajaan, atau menerusi saya, kerana kami tiada masalah menerima dan mempertimbangkan permohonan sebegitu.”
Hajiji berkata demikian menjawab pertanyaan Darell Leiking (Warisan-Moyog) tentang cara peruntukan tahunan diagihkan kepada Adun.
Shafie Apdal (Warisan-Senallang) kemudian berkata, koordinasi dalam pengagihan peruntukan persekutuan ke kawasan dikuasai pembangkang tidak mencukupi.
Hajiji dalam responsnya mengakui, beliau kadangkala turut mengalami perkara sama.
“Warisan dalam kerajaan perpaduan dan begitu juga kita (Parti Gagasan Rakyat Sabah), tetapi kadang-kadang saya tidak dimaklumkan (peruntukan persekutuan diluluskan) bagi beberapa kawasan bawah saya.
“Saya rasa ini kelemahan di pihak (pejabat) pembangunan negeri dan mungkin pejabat daerah, jadi kita ambil ini sebagai sesuatu yang perlu ditambah baik,” katanya.
“Kita akan beritahu (pejabat) pembangunan negeri Sabah untuk memaklumkan setiap Adun mengenai kelulusan peruntukan persekutuan bagi kawasan mereka.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram