HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Berapa lama nak tunggu MoU peruntukan pembangkang, soal Syed Saddiq

-

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau sudah lama setuju menyokong memorandum persefahaman itu.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang kuasa ketiga pada September tahun lalu.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tempoh perlu ditunggu untuk kerajaan menyiapkan memorandum persefahaman (MoU) bagi menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ini kerana Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan mendakwa perkara itu sebenarnya sudah lama dibincangkan, malah beliau memberikan persetujuan bagi merealisasikannya.

“Saya tak pasti berapa lama lagi kita perlu tunggu. Nak cakap soal persetujuan, saya telah beri persetujuan sejak tahun lepas…nak cakap perjumpaan, saya juga telah berjumpa dengan pelbagai wakil dan menyatakan persetujuan.

“Jadi berapa lama lagi sebab yang jelas Ahli Parlimen kerajaan telah dua tahun dapat (peruntukan) RM8 juta, iaitu RM4 juta setiap tahun,” katanya kepada FMT.

Syed Saddiq keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang kuasa ketiga pada September tahun lalu.

Kerajaan sedang merangka MoU itu yang akan diserahkan kepada pembangkang untuk proses rundingan sebelum dipersetujui bagi penyaluran peruntukan.

Pada 21 April lalu, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata MoU itu tidak diperlukan jika kerajaan ikhlas menyediakan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata dokumen itu diperlukan dan dipersetujui supaya ada persefahaman untuk menggerakkan pembangunan negara, fokus ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menggesa kerajaan tidak membazirkan peluang untuk membangunankan negara dengan politik membina bersama pembangkang yang manfaat akhirnya akan dinikmati rakyat.

“Kita kena ingat dalam politik ini ada naik turun, kalau kita menginstitusikan pembaharuan (pemberian peruntukan), tak kira siapa pun kerusi pembangkang pembelaan tetap diberikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.