
“Saya mengekalkan pendirian saya bahawa universiti tidak perlu meminta kelulusan kementerian untuk sebarang jemputan, tetapi pemeriksaan rapi perlu dilakukan ke atas pencapaian sebenar mana-mana orang dari luar negara yang dipelawa untuk berucap atau menjadi pensyarah pelawat,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Zambry mengarahkan pembatalan serta-merta semua program dan aktiviti membabitkan Bruce Gilley, profesor sains politik dari Portland State University, yang menerusi ucaptamanya di UM mendakwa Malaysia mahukan “Holocaust kedua terhadap orang Yahudi”.
Gilley pada mulanya dijadual menyampaikan tiga ceramah di UM sebagai profesor pelawat. Dia turut memuat naik komen sama di X sebelum memadamkannya dan menyuarakan kekesalan atas “kemudaratan ditimbulkan kepada rakan akademik saya”.
UM kemudian memohon maaf atas kenyataan kontroversi Gilley.
Pengulas sosiopolitik dan profesor di Universiti UCSI, Tajuddin Rasdi dilaporkan berkata, UM tidak perlu memohon maaf kerana menjadi amalan biasa dalam kalangan akademia menjemput tokoh kontroversi untuk wacana.
Katanya, tiada sekatan perlu dilaksanakan ke atas amalan itu kerana ia menjejaskan kebebasan akademik.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram