HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rasuah urus jenazah, penolong pegawai perubatan didenda RM3,000

-

Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas Moh Roffi Ab Rahman menukar pengakuan kepada bersalah tiga pertuduhan rasuah berkaitan kerja pengurusan jenazah.

0
Shares
Total Views: 1
Moh Roffi Ab Rahman
Mahkamah Sesyen Kuantan memerintahkan tertuduh Moh Roffi Ab Rahman dihukum penjara 18 bulan jika gagal membayar denda. (Gambar bernama)

KUANTAN:
Seorang penolong pegawai perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berkaitan kerja pengurusan jenazah, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Moh Roffi Ab Rahman, 58, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan pada prosiding hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan semua pertuduhan, Roffi yang bertugas di Unit Perubatan Forensik HoSHAS didakwa menerima rasuah RM1,600 yang dimasukkan secara pindahan wang ke akaun bank miliknya oleh dua individu terlibat dalam kerja pengurusan mayat dan jenazah di sebuah bank di Bandar Pusat Jengka, Bandar Jengka antara 8 April hingga 27 Jun 2021.

Bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,400 bagi pertuduhan pertama, denda RM600 bagi pertuduhan kedua dan denda RM1,000 bagi pertuduhan ketiga.

Pada 19 Okt tahun lalu, Roffi mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menerima wang berjumlah RM3,350 berkaitan kerja pengurusan jenazah di hospital terbabit.

Bagaimanapun, sembilan lagi pertuduhan membabitkan kesalahan sama yang dihadapi Roffi sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.