
Bekas menteri undang-undang itu berkata, perkara itu bukan suatu masalah, melainkan wujudnya ketakutan “turun-temurun” membuka UiTM kepada golongan bukan Bumiputera.
“Ini masalah Umno. Kalau boleh, lihatlah perkara ini dari sudut berbeza. Negara mesti diutamakan. Kita kekurangan semua jenis pakar perubatan dalam sektor kesihatan awam. Kita kekurangan jururawat.
“UiTM ditubuhkan untuk membantu Bumiputera, dan patut terus berbuat sedemikian. Namun sekarang, kita mesti iktiraf bahawa membantu golongan bukan Melayu memasuki UiTM juga akan membantu Bumiputera, dengan menyelesaikan masalah negara.
“Umno mesti buang ketakutan tak munasabah ini. Kita sekarang ini satu negara yang mempunyai masalah lebih besar, tetapi cukup sumber untuk menampung semua kumpulan,” katanya di platform media sosial, X.
Zaid berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir sebelum ini bahawa pembukaan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera belum dibincangkan.
Zambry berkata, terdapat beberapa perkara asas perlu ditekankan sebelum cadangan itu dipertimbangkan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut perkara asas yang dimaksudkannya.
“Kita belum bincangkan perkara ini, selain tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan berkenaan.
“Penting untuk kita selesaikan beberapa isu asas sebelum membincangkan cadangan berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram