
Kadir berkata keengganan tersebut berpunca kekeliruan dan kekaburan menyelubungi kesalahan berkaitan isu 3R (raja, agama dan kaum).
“Mereka takut untuk menyiasat isu seperti ini,” kata Kadir, bekas ketua pengarang New Straits Times yang pernah dilantik sebagai penasihat khas hal ehwal media di Pejabat Perdana Menteri pada 2018.
Kadir memberitahu FMT, beliau merasakan mereka yang terbabit dengan komunikasi peringkat atasan dalam kerajaan dilihat ‘tidak dimaklum atau tidak serius menangani pertanyaan’.
Amaran Fahmi

Bekas menteri komunikasi Saifuddin Abdullah berkata satu lagi faktor yang menyumbang kepada kemerosotan tersebut adalah amalan kerajaan yang mengeluarkan bermacam-macam amaran, terutama sekali menteri yang berkuasa ketika ini.
“Sebagai contoh kenyataan ‘kereta polis akan berada di rumah anda’,” katanya yang merujuk kepada komen yang dibuat jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Jun tahun lalu.
Fahmi dikecam selepas membuat kenyataan itu terhadap pengkritik ketika sesi siaran langsung di TikTok. Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa kenyataan itu ditujukan kepada mereka yang menyentuh isu 3R dan bukannya yang mengkritik beliau.
Semalam, laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 pada tahun sebelumnya.
Janji yang tidak ditepati
Kadir dan Saifuddin kedua-duanya bersetuju kegagalan kerajaan melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan sebelum ini turut menyumbang kepada kemerosotan itu.
Kadir berkata, banyak janji kerajaan masih belum dipenuhi, dan dalam sesetengah kes, negara dilihat mundur ke belakang.
“Akses kita kepada komunikasi antara yang terbaik tetapi apa yang boleh kita bincang terus dihadkan oleh undang-undang, yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan, tetapi tidak berlaku.”
Saifuddin berkata kerajaan juga tidak mampu untuk memansuhkan Akta Hasutan, yang digambarkan beliau sebagai ‘langkah mudah’.
Pada Mac, Jemaah Menteri bersetuju untuk memulakan proses meminda akta kontroversi itu, bermula dengan libat urus dengan polis.
Fayhsal salahkan Fahmi

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata skor dalam indeks itu menunjukkan Putrajaya terutama Fahmi, sebagai jurucakap kerajaan ‘sepanjang masa ini berbohong’ dari segi imej yang cuba ditonjolkan.
“Laporan itu dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan adalah autokratik, kuku besi dan penipu,” katanya, yang meletakkan punca kejatuhan ranking itu di bahu Fahmi.
“Punca utama masalah ini adalah Fahmi sendiri kerana beliau kurang tegas dan menggunakan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk mengugut orang lain, menyebabkan ranking jatuh,” kata Fayhsal.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram